Seks bebas di kalangan remaja membimbangkan

Syariat Islam adalah ajaran Islam yang membicarakan amal manusia baik sebagai makluk ciptaan Allah maupun hamba Allah..:namespace prefix = o ns = “urn:schemas-microsoft-com:office:office” />

HUBUNGAN seks membabitkan pasangan yang tiada ikatan perkahwinan keji yang melanggar hukum agama.
Malah, Islam memandangkan berat kesalahan zina kerana mendatangkan pelbagai keburukan kepada pelakunya dan masyarakat.

Kesannya ditanggung dalam tempoh lama, sedangkan nikmatnya sekejap. Pakar psikologi dan sosiologi turut berpendapat, punca keruntuhan nilai kehidupan manusia ialah apabila melakukan seks bebas tanpa ikatan perkahwinan.
Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata sedihnya gejala zina pada masa kini dilihat seolah-olah semakin berleluasa.
Katanya, ada antara pelaku melakukan tanpa segan silu seakan tidak takut dengan hukuman atau balasan terhadap perbuatan keji itu.

Dr Harlina berkata, walaupun zina dilakukan dengan kerelaan pasangan terbabit, perbuatan itu adalah salah dan lebih teruk, perbuatan itu membawa banyak kesan negatif dalam masyarakat dan keluarga serta individu itu sendiri.

Katanya, Islam sendiri melarang keras zina melalui, firman Allah bermaksud: ‘Dan janganlah kamu mendekati zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan kalan yang buruk.’- (Surah al-Israk,ayat 32)

“Zina bukan hanya dilihat haram dari sudut agama, tetapi juga kesan yang akan dibawanya pada masa depan. Ini seperti kita melihat kejadian tsunami yang tidak nampak bila akan berlakunya, tetapi jelas sekali selepas peristiwa itu banyak benda musnah dan binasa.”

“Bencana itu turut menghapuskan populasi dan kita terharu serta sebak apabila melihat mayat bertaburan di sana sini. Keadaan itu sebenarnya samalah yang dibawa gelombang maksiat perzinaan, malah lebih teruk lagi kerana membabitkan nasab manusia, hukum Tuhan dan dosa serta kesihatan sama ada bagi wanita mahupun lelaki,” katanya ketika ditemui Berita Harian di Kuala Lumpur,baru-baru ini.

Dr Harlina berkata, dari sudut kesihatan sudah tentu membabitkan wanita termasuk, berlakunya kehamilan yang tidak dirancang dan di luar perkahwinan serta terpaksa disembunyikan.

Keadaan lebih teruk apabila ada wanita berkenaan mengambil jalan silap dengan melakukan perguguran haram sama ada melalui kaedah selamat atau traditional yang tanpa disedari, mendedahkan kepada risiko tinggi kematian akibat pendarahan dan jangkitan pada rahim.

Antaranya ialah jangkitan penyakit kelamin dan peningkatan kes jangkitan berjangkit seperti HIV/Aids.

Beliau berkata, bagi memupuk kesedaran di kalangan masyarakat mengenai bahaya zina, khusus remaja, JIM akan melancarkan kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’. Kempen ini juga memupuk sikap prihatin ibu bapa terhadap anak di dalam menangani permasalah gejala sosial.

“Kempen memghidari zina ini dilihat sebagai satu usaha bersepadu yang mendapat perhatian ramai dan JIM melihat keperluan mengadakannya adalah sangat penting kerana gejala sosial membabitkan seks di luar nikah amat ketara di negara ini, terutama di kalangan remaja dan tidak terkecuali wanita atau lelaki yang sudah berkahwin,” katanya.

Beliau berkata, perkataan ‘zina’ sengaja digunakan dalam kempen kerana ia adalah bahasa dalam al-Quran bagi menerangkan makna hubungan seks yang mebabitkan pasangan tiada ikatan perkahwinan dan setiap umat Islam dilarang keras mendekati atau melakukan perbuatan keji itu.

Jesteru, dengan menggunakan pendekatan secara berterus terang termasuk menggunakan perkataan ‘zina’ dalam kempen, ia seolah-olah memberi peringatan kepada masyarakat bahawa perbuatan itu sememangnya terkutuk dan dilaknati.

Jadi, adalah tanggungjawab semua untuk menghindarkan diri dan ahli keluarga daripada terjerumus dalam kemelut perzinaan yang membawa kepada kerosakan diri dan masyarakat.

“Selain definisi seks bebas, seks rambang, seks luar nikah dan perbiatan terlanjur, hakikat semua itu adalah perlakuan zina. Apa yang dibimbangkan perkataan itu tidak memberikan impak dan kesedaran tinggi sehingga ada menganggap, perlakuan salah dan haram itu sesuatu yang sudah biasa.”

“Sekurang-kurang, dengan perkataan zina ia mengingatkan kita semula betapa hukuman berat ke atas penzina oleh Allah termasuk, hukuman sebat dikenakan kepada yang belum pernah berkahwin dan rejam sehingga mati bagi yang pernah berkahwin.” katanya.

Dr Harlina berkata, kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ dilancarkan bersempena Malam Amal Raudhatus Sakinah yang akan diadakan di Dewan Wawasan Seri Cempaka Convention Centre, Bangunan PGRM Cheras pada 14 Julai ini.

Majlis amal yang eksklusif untuk wanita itu bakal diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Hasnah Hussiin

Golongan remaja mewakili peratusan tertinggi penduduk di Malaysia. Peranan dan tanggungjawab remaja sebagai generasi pemimpin pada masa akan datang sesungguhnya memberi impak yang besar kepada pembangunan negara.

Golongan remaja di Malaysia biasanya terdiri dari kumpulan umur antara 14-21 tahun. Dalam hal ini, ahli-ahli sains sosial mempunyai pandangan yang berbeza dalam mengkategorikan had umur mereka.

Walau bagaimanapun, di peringkat ini, cabaran dari sudut sikap dan perilaku mereka sering kali dianggap negatif dan memudaratkan.

Malah pada masa yang sama masyarakat juga telah menghukum mereka sebagai golongan yang mendatangkan masalah kepada negara dan juga telah mencemarkan nama negara Malaysia yang telah merdeka.

Apakah maksud kemerdekaan? Menurut Kamus Dewan, merdeka membawa maksud bebas, lepas, berdiri sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain.

Dalam hal ini, jika kita menelusuri data-data mengenai penglibatan remaja kita dalam masalah sosial sangat membimbangkan. Adakah ini mencerminkan ciri-ciri remaja dalam sebuah negara merdeka?

Remaja Islam sebenarnya mempunyai tempat yang tinggi dalam masyarakat dan negara.

Ini berdasarkan hak yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada setiap diri insan sebagaimana disebutkan di dalam al Quran yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami angkat mereka di dataran dan lautan, dan Kami beri rezeki mereka dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”. (al Isra: ayat 70)

Untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut marilah kita renungkan dan hayati isu-isu yang melibatkan golongan remaja kita pada hari ini terutamanya remaja Islam.

Penagihan dadah serta pil Ecstasy

Sebanyak 45 peratus golongan penagih dadah didapati mula terlibat secara tidak aktif sewaktu zaman persekolahan.

Perangkaan tahun 1996 menunjukkan 71 peratus remaja di antara usia 13 hingga 18 tahun sudah mula menghisap rokok, 80 peratus penagih bermula dengan merokok dan kemudian menghisap ganja, mengambil pil khayal dan seterusnya menagih dadah yang lebih berbahaya. (Lokman Moidin, “Prihatin kepada remaja untuk masa depan negara”).

Ada sesetengah daripada remaja pada hari ini menghidu gam, minum air daun ketum atau dikenali sebagai `air biak’, ganja serta menghisap pit.

Pada tahun 1997 sahaja, kementerian mendapati 16.7 peratus remaja kita merokok. ”Kaki minum di kalangan remaja kita pada tahun 1996 sahaja sebanyak 9.0 peratus. (Datuk Dr. Chua Jui Meng, “Gejala sosial bawa kemudaratan — Kesihatan remaja berada pada tahap membimbangkan”, 1998)
.

Manakala pengambilan Pil ecstasy di kalangan remaja juga semakin membimbangkan. Ini berdasarkan kepada siri penangkapan remaja-remaja di pusat hiburan mendapati pil-pil ecstasy boleh didapati dengan mudah di sana.

Remaja harus menyedari bahawa pil ini sangat merbahaya dan merosakkan kesihatan individu yang mengambilnya.

Menurut Dr. Mazlan Mahmud, Pakar Perubatan Penagihan, Jabatan Psikiatri Hospital Muar, Johor (Utusan Malaysia, 2002) mengatakan, Pil ini mengandungi dadah amfetima yang boleh merencat bahagian otak yang mengawal nafsu makan.

Keadaan ini menyebabkan seseorang itu mengalami kurang selera makan. Selain daripada itu, Pil ecstasy juga akan menyebabkan seseorang menjadi lebih aktif pada peringkat awal pengambilan dan ini akan menyebabkan berat badan individu terbabit menurun mendadak.

Keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya individu tersebut berhenti daripada mengambil pil itu.

Dalam masa beberapa minggu selepas itu, individu tersebut akan menjadi letih, banyak tidur, berasa runsing, susah hati dan kuat makan.

Pada masa ini pula seseorang individu akan mengalami peningkatan berat badan secara mendadak dan keadaan ini akan mendorong individu itu mengambil pil ecstasy semula sehingga menyebabkannya terjebak dengan penagihan.

Untuk pengetahuan umum, Pil ecstasy juga boleh menyebabkan peningkatan perasaan seksual seseorang. Mereka akan berasa lebih seronok dan berahi.

Malah nafsu seks mereka boleh menjadi tidak terbatas iaitu mereka tidak berasa takut untuk melakukan seks secara rambang atau mendapat penyakit berjangkit.

Seks Bebas

Menurut Dr. Maryani Md. Nor dari Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), seks bebas boleh diterjemahkan sebagai perhubungan seks tanpa ikatan nikah yang sah kini menjadi isu serius yang melanda remaja masa kini.(Rosmah Dain, “Seks Bebas – Isu Serius Melanda Remaja Malaysia”).


Keadaan ini ada kaitannya dengan penyebaran teknologi maklumat yang begitu berleluasa serta ditambah pula dengan iman yang rapuh dalam diri para remaja islam pada hari ini.

Fenomena video lucah, serta bahan-bahan bacaan lucah begitu mudah didapati di pasaran.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga tidak kurang hebatnya. Harus disedari bahawa perlakuan seks bebas merupakan perbuatan yang diharamkan dalam Islam.

Oleh itu, di dalam Islam bagi mereka yang tidak dapat menahan keinginan, Islam menggalakkan umatnya menggunakan saluran lain seperti berkahwin atau berpuasa.

Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana negara seluruh dunia. Di Amerika Syarikat misalnya dan juga negara-negara Barat lain, kajian menunjukkan satu daripada lima remaja melibatkan diri dalam hubungan seks sebelum mereka mencapai umur 15 tahun.

“Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini juga menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah”.

Halijah berkata, antara sebab-sebab mengapa remaja di negara ini terdorong terlibat dalam hubungan seks bebas ialah akibat permintaan dan `godaan’ yang lebih banyak dan kompleks berbanding remaja pada generasi lalu.

Di samping itu, pengaruh daripada rakan sebaya terutamanya di kalangan remaja lelaki juga merupakan faktor penyebab mengapa remaja terdorong melakukan hubungan seks tanpa tahu risikonya.

Dalam pada itu, pengaruh persekitaran yang begitu kondusif turut menggalakkan perlakuan seksual seperti itu. Kehidupan anak-anak yang terlalu terkongkong atau tidak rapat dengan ibu bapa atau keluarga, boleh menyebabkan anak-anak ingin meneroka sesuatu yang negatif.

Selain itu kurangnya didikan agama juga menjadi punca utama mengapa mereka tidak dapat menahan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti ini. Halijah berkata, antara kesan-kesan mengamalkan seks bebas ialah kehamilan.

Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian.

Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja dunia pernah menggugurkan kandungan,” katanya.

Hubungan seks bebas juga membawa risiko penyakit kelamin. Menurut anggaran WHO, setiap tahun, seorang daripada 20 remaja di dunia dijangkiti penyakit kelamin yang mana daripada sejumlah 333 juta kes baru penyakit kelamin, 111 juta kes berlaku di kalangan mereka yang berusia di bawah 25 tahun.

Hubungan seks bebas yang tiada perlindungan boleh menyebabkan peningkatan kepada risiko keguguran di kalangan remaja yang masih mentah yang bukan sahaja membahayakan nyawanya juga paling tidak selamat ialah akan meningkatnya kes penyakit kelamin dan berjangkit seperti gonorea, sifilis dan lebih berbahaya iaitu AIDS.

Antara punca yang dikenal pasti berlakunya permasalahan ini ialah kurangnya ilmu pengetahuan tentang penjagaan kesihatan berhubung tentang seks di kalangan remaja dan juga pengamal perubatan yang tidak mahir.

Berdasarkan Kaji Selidik Penyakit dan Kesihatan Negara (bawah Kementerian Kesihatan) memperlihatkan bahawa penglibatan remaja dalam hubungan seks di luar perkahwinan di Malaysia adalah 1.8 peratus pada tahun 1996.

“Jumlah yang paling tinggi adalah di kalangan pelajar perempuan iaitu 2.5 peratus berbanding dengan pelajar lelaki hanya 1.2 peratus sahaja”.

Jenayah

Walaupun Malaysia pada hari ini telah pun menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50, namun timbul persoalan adakah negara kita sudah bebas sepenuhnya daripada kegiatan jenayah yang sememangnya tidak wujud lagi dalam sebuah negara yang merdeka.

Malahan kejadian jenayah di Malaysia pada hari ini semakin menjadi-jadi. Pembunuhan kejam berlaku di sana sini, samun, pecah rumah, rogol dan sebagainya.

Penglibatan para remaja dalam kegiatan jenayah juga sangat membimbangkan. Hasil kajian yang dibuat oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengenai pembabitan remaja Melayu di ibu kota dalam kejadian jenayah sungguh mengejutkan.

Ini kerana remaja Melayu seakan menjadi jaguh dalam kebanyakan kategori jenayah yang berlaku di ibu negara sama ada yang dilapor atau tidak oleh media massa negara ini.

Kajian itu merumuskan bahawa remaja Melayu begitu lemah dan mudah terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk keseronokan.

Ini menunjukkan bahawa betapa rapuhnya iman remaja pada hari ini sehingga sanggup melakukan sesuatu di luar batasan kemanusiaan.

Remaja dan Black Metal

Dalam kesibukan negara hendak menjadikan negara ini sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia, Malaysia sekali lagi dikejutkan oleh pendedahan wujudnya pengaruh Black Metal di kalangan pelajar sekolah, menengah dan ada diantaranya adalah daripada golongan professional.

Apa yang lebih memeranjatkan banyak pihak, budaya negatif ini bukan sahaja berlaku di sekolah menengah sahaja, malahan ada murid-murid sekolah rendah juga dilaporkan terlibat dengan gejala yang tidak sihat ini.

Dalam era globalisasi, teknologi maklumat merupakan satu komponen globalisasi itu sendiri yang sangat dominan dan paling berpengaruh.

Kemajuan dalam bidang teknologi maklumat ini bukan sahaja mendatangkan impak yang bermanfaat, malahan turut sama menyebar luaskan unsur-unsur yang tidak sihat seperti pengaruh Black Metal ini.

Perbuatan seperti membakar Al-Quran, kencing atas Al-Quran, meminum darah kambing hitam, tidak sedarkan diri, mendengar muzik dan lagu yang tiada mesej dan bermacam-macam lagi.

Apakah ini bentuk kehidupan remaja Islam kini? Sehingga sanggup memperlekehkan kemuliaan Al-Quran.

Tidak keterlaluan jika dikatakan pengaruh Black Metal lebih dahsyat dari pengaruh budaya rock, punk, hippies, skin head dan banyak lagi yang kesemuanya diimport dari barat.

Di manakah erti kemerdekaan kepada muda-mudi Islam ini jika mereka masih terpengaruh dengan budaya karut marut tersebut.

Remaja dan Masalah Buli

Dalam sebuah negara merdeka, setiap rakyat tidak kira tua atau muda perlu mempunyai rasa kekitaan dan sayang menyayangi di antara satu sama lain.

Setiap warganegara perlu ada kesedaran terhadap hak-hak orang lain. Justeru itu, fenomena buli membuli dalam masyarakat Malaysia tidak seharusnya berlaku.

Realitinya dalam masyarakat kita pada hari ini, khususnya para remaja begitu sinonim dengan kejadian buli khususnya remaja sekolah. Lihat sahajalah beberapa kejadian yang telah berlaku sebelum ini.

Kejadian di Persiaran Gurney, Pulau Pinang bukan sahaja memilukan malah telah menyebabkan seluruh masyarakat marah.

Keluarga mangsa menjadi trauma akibat kejadian tersebut sehingga tidak akan memaafkan mereka yang menyebabkan kematian Allahyarham Asrin Mohsin.

Apa yang menjadi masalah ialah kebanyakan mangsa buli ini pula tidak berani tampil untuk mendedahkan kejadian buli yang berlaku sama ada kepada ibu bapa atau pihak sekolah.

Keadaan ini menyukarkan lagi usaha pihak sekolah untuk menyelesaikan masalah buli dan ini secara tidak langsung akan menyebabkan pembuli semakin berleluasa.

Apakah yang menyebabkan remaja sekolah ini menjadi semakin liar, ganas sehingga sanggup membunuh rakan sendiri? Siapakah yang perlu dipersalahkan masyarakat, guru atau ibu bapa?

Remaja dan Lari dari Rumah

Sejak tahun 2003, dilaporkan sebanyak 16,020 orang remaja bawah umu 17 tahun lari dari rumah. Daripada jumlah tersebut sebanyak 9,415 orang telah dijumpai semula.

Kebanyakan gadis-gadis bawah umur ini lari dari rumah atas factor mengikut teman lelaki dan juga tidak mahu dikongkong oleh ibu bapa mereka.

Statistik polis mendedahkan sebanyak 2,540 lari bersama teman lelaki, 1,857 terpengaruh dengan rakan, 1,592 lari kerana masalah keluarga dan 1,371 lari kerana mahukan kebebasan.

Daripada jumlah tersebut, remaja Melayu paling ramai terlibat iaitu sebanyak 10,489 kes berbanding dengan bangsa lain.

Bagi remaja Melayu faktor utama yang menyebabkan remaja lari dari rumah disebabkan oleh pengaruh rakan manakala remaja Cina disebabkan oleh masalah keluarga.

Remaja dan Idola Popular

Masyarakat Islam selalunya merujuk kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w sebagai rujukan sama ada dari segi amalan, kelakuan atau dikatakan sebagai cara hidup.

Tanpa disedari mereka sebenarnya telah menjadikan junjungan mulia sebagai idola. Manakala kita sebagai masyarakat Islam Malaysia yang hidup dalam sebuah negara merdeka, tidak ramai yang menjadikan tokoh-tokoh pejuang negara sebagai idola.


Mengapakah kita tidak berminat untuk menjadi seperti mereka yang telah berjuang bermati-matian mempertahankan negara sehingga kita dapat melepaskan diri dari belenggu penjajahan.

Apa yang berlaku dalam masyarakat kita khususnya remaja Islam masa kini meminati artis pujaan mereka dan sekaligus menjadikan artis tersebut sebagai idola mereka tanpa mengambil kira apakah sumbangan artis tersebut kepada negara dan agama.

Apakah nilai-nilai murni artis tersebut yang boleh dijadikan tauladan. Apa yang mereka tahu sekadar meminati nyanyian atau lakonan artis sahaja.

Begitu sempit pemikiran remaja Islam pada hari ini. Siapa sebenarnya yang layak menjadi idola kepada remaja-remaja ini? Tokoh korporat, negarawan, sasterawan, ahli sukan atau artis yang berada dalam lingkungan budaya popular?

Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan remaja Islam seratus peratus kerana jika diperhatikan sama ada di media cetak atau media elektronik, pendedahan mengenai perjuangan atau peranan cerdik pandai Islam, negarawan, sasterawan atau golongan ahli korporat kurang didedahkan.

Apa yang mendominasi media cetak dan elektronik masa kini adalah kehidupan golongan artis dan cerita-cerita hiburan semasa yang banyak melalaikan remaja dan mempengaruhi remaja untuk hidup dalam dunia glamour sebagai seorang artis.

Remaja dan Sambutan Kemerdekaan

Kuala Lumpur sememangnya menjadi tumpuan warga kota yang ingin menyambut detik-detik bersejarah menjelangnya 31 Ogos. Masing-masing begitu sabar menunggu detik 12 tengah malam yang menyaksikan kejayaan negara membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.

Apabila tiba detik 12 malam, percikan bunga api pun dinyalakan, acara hiburan yang berbentuk konsert serta parti-parti anjuran individu atau kafe-kafe di ibukota mula beroperasi bagi memeriahkan lagi malam sambutan kemerdekaan.

Tidak cukup dengan itu ada yang mengadakan pesta seks, pesta arak, rempit, berkaraoke sampai pagi, berpeleseran, dan sebagainya. Siapa yang paling ramai terlibat? Sudah tentulah golongan remaja Islam.

Inilah senario yang berlaku saban tahun di Malaysia. Sungguh berlainan sekali dengan masyarakat zaman dulu yang menyaksikan percikan api peluru musuh, masyarakat kini menyaksikan percikan bunga api sebagai satu kejayaan.

Walau apapun sambutan yang dibuat, bagi masyarakat Malaysia masa kini, pengisian malam kemerdekaan mesti disertakan dengan acara hiburan.

Malahan acara hiburan begitu mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat, berbanding ceramah kemerdekaan atau menonton dokumentari berkaitan jerih perih penjajahan.

Bagi golongan remaja khususnya remaja Islam, itulah caranya mereka mengisi kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini.

Golongan remaja Islam misalnya merupakan golongan yang paling ramai menunjukkan sokongannya terhadap program-program pengisian sambutan kemerdekaan seperti tadi.

Bagi mereka, itulah penghayatan erti kemerdekaan tanpa mengetahui bahawa sambutan kemerdekaan bukan sekadar laungan penuh semangat tetapi diri mereka juga perlu tampil dalam pakej lengkap sebagai anak bangsa yang merdeka.

Apa yang membimbangkan ialah jika anak-anak muda ini terus hanyut dibawa arus kealpaan dan terpengaruh dengan budaya asing, siapa yang akan mempertahankan negara suatu hari nanti?

Cara yang terbaik dalam menangani sesuatu masalah adalah dengan adanya gabungan beberapa faktor yang saling berkaitan antara satu sama lain.

Antara cara yang paling utama dalam menangani sesuatu masalah yang dianjurkan oleh Islam adalah melalui pengukuhan ikatan akidah.

Ikatan akidah menuntut kita supaya meyakini bahawa Tuhan sekalian alam ialah Allah S.W.T yang maha berkuasa ke atas makhluknya.

Segala perintah dan suruhan Tuhan wajib ditaati. Dia yang Maha Mengetahui. Melalui ikatan akidah juga, kita tahu dari mana kita datang, kenapa kita datang ke dunia ini dan ke mana akhirnya hidup ini.

Dengan cara ini, para remaja akan mampu menghadapi segala masalah atau segala cabaran dengan penuh bijaksana dan kesabaran kerana meyakini Allah berkuasa ke atas segala-galanya.

Selain itu, remaja harus sentiasa melakukan kegiatan kerohanian agar sentiasa tenang dan tenteram dalam hatinya.

Para remaja mestilah sentiasa mendirikan sembahyang, mendampingi al-Quran, berkunjung ke masjid agar dapat mendampingi orang yang terpuji akhlaknya, berpeluang mendekati orang yang berilmu dan mendengar ceramah agama.

Dengan ini remaja akan sentiasa ingat siapa diri mereka dan apa yang mereka harus lakukan untuk bekalan di masa depan. Dalam hal ini remaja perlu tahu bahawa ilmu keduniaan yang mereka miliki tidak akan menjamin seseorang itu terpelihara daripada anasir-anasir luar.

Pendidikan agama juga perlu seiring supaya perjalanan hidup seseorang individu muslim sentiasa terarah ke jalan yang diredhai Allah sw.t.

Remaja juga harus mencari mereka yang baik akhlaknya serta ilmunya untuk dijadikan model ikutan serta sumber rujukan untuk mendapatkan penyelesaian kepada masalah mereka.

Begitu juga apabila memilih kawan. Kawan sebenarnya memainkan peranan dalam hidup seseorang individu. Ini kerana jika seseorang itu silap memilih kawan, kemungkinan untuk seseorang itu terjerumus ke lembah kehinaan adalah lebih tinggi.

Kawan adalah orang yang kedua dalam hidup seseorang individu selepas ibu bapa. Lebih parah lagi apabila ada dikalangan remaja pada hari ini lebih percaya kepada kawan daripada ibu bapa sendiri.

Para remaja juga tidak boleh menjadikan tempat hiburan sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah.

Ini kerana pada zaman moden ini, para remaja Islam khususnya lebih suka mencari ketenangan dan menyelesaikan masalah dengan mengunjungi kelab-kelab malam, dan kelab-kelab hiburan di sekitar ibu kota.

Remaja pada hari ini lebih selesa mengunjungi pusat hiburan daripada mengunjungi majlis agama atau masjid-masjid. Ini kerana mereka merasakan masjid itu hanyalah tempat untuk bersolat sahaja.

Mereka tidak mengetahui bahawa masjid merupakan tempat yang paling sesuai untuk bertafakur dan memohon petunjuk daripada Allah dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Kesimpulan

Menurut Prof. Dr. Sidek Baba, remaja pada hari ini harus insaf bahawa dalam proses Bina Negara kita berdepan dengan persaingan yang sengit.

Negara yang maju dan negara yang membangun, banyak ditentukan oleh kualiti diri remaja dan kualiti ilmunya, Remaja harus selalu bertanya apakah sumbangan dirinya terhadap negara, bukan hanya bertanya apakah sumbangan negara terhadap dirinya.

Penulis Adalah Pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang

Pelajar Amal Seks Bebas

Kajian mengenai moral remaja perempuan oleh seorang ahli akademik tempatan menghasilkan penemuan yang mengejutkan apabila 886 daripada 887 pelajar perempuan dalam kategori ‘berisiko tinggi’ yang menuntut di sekolah menengah di sebuah negeri mengaku pernah melakukan hubungan seks.

Kajian tiga bulan berakhir Disember 2006 membabitkan pelajar tingkatan satu hingga lima dengan 20 pelajar berisiko tinggi daripada setiap sekolah yang dipilih kaunselor sebagai responden.

Mereka terdiri daripada pelajar perempuan yang mempunyai masalah disiplin serta berlatarbelakangkan keluarga bermasalah.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Khaidzir Ismail, berkata Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi Terhadap Remaja Perempuan Berisiko Tinggi Atau Bermasalah, berkata penemuan itu menunjukkan kemerosotan mendadak nilai moral remaja perempuan di negara ini.

“Sungguh menyedihkan dan mengejutkan kerana daripada semua responden yang ditemu bual itu hanya seorang mengaku tidak pernah melakukan hubungan seks.

“Keputusan ini amat memeritkan, namun ia realiti yang harus kita terima,” katanya.

Difahamkan kajian itu dilakukan hasil inisiatif kerajaan negeri berkenaan yang menyedari mengenai kemerosotan moral remaja di negeri itu berdasarkan pendedahan media.

Hasil kajian itu diharap dapat membantu kerajaan negeri terbabit merangka modul latihan khas terancang dan teliti yang sesuai diterapkan kepada golongan itu.

Khaidzir berkata kajian juga mendapati pelajar perempuan berumur lingkungan 15 dan 16 tahun adalah paling berisiko terjerumus dalam pelbagai masalah disiplin termasuk untuk mencuba melakukan hubungan seks buat kali pertama.

Beliau berkata selain terbabit dalam hubungan seks, kajian mendapati 98 peratus daripada mereka mengaku mengambil dadah, terbabit dalam kongsi gelap (98 peratus), bahan lucah (97.3 peratus), berjudi (96.8 peratus), vandalisme (85.4 peratus) dan ponteng sekolah (77.2 peratus).

Katanya, kebanyakan pelajar mempunyai kekurangan dari aspek kemahiran akademik, komunikasi, memiliki kendiri rendah, kawalan diri yang rendah dan kemahiran penyelesaian masalah yang rendah.

Sumber Maklumat : Berita Harian (27 Februari 2007)

SEKS boleh menentukan jatuh bangun seseorang di dunia dan akhirat. Pada hari ini skandal seks tidak hanya menyerang orang-orang biasa, malah ia juga menyerang golongan agama terutamanya di kalangan tokoh-tokoh agama Kristian. Dalam majalah Time bertarikh 1 April 2002, antara tajuk yang difokuskan ialah Can The Church Be Saved? Dalamnya dimuatkan kisah-kisah salah laku seks yang melibatkan paderi-paderi Katolik Roman dengan kanak-kanak lelaki serta remaja. Laporan itu mengatakan, skandal ini mungkin melibatkan lebih kurang 2,000 orang paderi di seluruh Amerika. Skandal seumpama ini juga menyerang paderi-paderi Katolik Roman di England dan Wales berpandukan Nolan Report yang dikeluarkan pada tahun 2001. BBC News bertarikh 9 April 2002 melalui artikel yang bertajuk Catholic Church Shaken By Sex Scandals melaporkan, “Di Ireland skandal ini melibatkan paderi-paderi kanan seperti Cardinal Desmond Connell.”

Mengikut Kamus Dewan, seks ialah, “1- Sifat-sifat yang membezakan laki-laki dan perempuan, jantina; 2- Keinginan syahwat.” Ini bermaksud, seks membicarakan tentang jantina serta sifat-sifat yang membezakan antara lelaki dan perempuan agar kita bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita dan menggunakannya secara yang betul, dan agar kita menghormati mereka yang berlainan jenis dari kita dan tidak menzalimi mereka. Seks juga membicarakan tentang kehendak nafsu syahwat agar kita akhirnya mampu meletakkan nafsu ini di tempat yang terbaik baginya. Dalam artikel ini Dr. Danial menjelaskan tentang 16 perkara yang perlu diketahui tentang seks merujuk kepada buku beliau bertajuk ‘PERUBATAN ISLAM DAN BUKTI SAINS MODEN’ dan ‘7 FORMULA INDIVIDU CEMERLANG’.

1- NAFSU SEPERTI LAYANG-LAYANG

Pernahkah anda melihat layang-layang yang cantik melayang-melayang dan menari-nari di udara? Ya, ia suatu pemandangan yang mengasyikkan! Tahukah anda mengapa layang-layang itu terus menjadi cantik dan mampu terus melayang-layang di udara dan mampu terus mengasyikkan anda? Ia disebabkan benang yang ada di badannya terus mantap dan tidak putus. Apabila benang itu putus, hilanglah kecantikan layang-layang itu dan akhirnya akan tersadai lah ia di tempat yang tidak menentu menanti kehancuran! Demikianlah dengan nafsu termasuk nafsu seks. Apabila benang agama terputus darinya dia akan tersadai di tempat yang hina menanti kehancuran.

2- SEKS ADALAH KEPERLUAN FITRAH

Manusia perlukan seks kerana ia adalah keperluan atau fitrah manusia. Justeru dalam Islam konsep hidup ala rahib tidak pernah ada kerana agama Islam melayani fitrah manusia. Namun keperluan seks perlu diimbangi dengan nilai akhlak. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya. Alangkah indahnya firman Allah yang bermaksud “Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu.” (Surah Al-Baqarah ayat 223) Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya.

3- SEKS ADALAH AMANAH

Tubuh anda adalah amanah yang dianugerahkan Allah kepada anda. Justeru anggota seks juga adalah amanah. Apa pendapat anda jika seseorang diberikan wang kemudian dia meletakkan dan menggunakan wang itu sesuka hatinya? Sudah pasti anda akan mengatakan beliau seorang yang tidak jujur! Demikianlah juga dengan alat kelamin anda. Ia diberikan Allah kepada anda. Jika anda lakukan sesuka hati anda dengannya tanpa mengikut panduan agama, anda juga boleh dihukum sebagai seorang yang tidak jujur. Justeru, sahabat nabi, Abdullah ibn Amr ibn Al-As, berkata, “Amanah ialah alat kelamin manusia. Jika manusia mampu menjaga amanah ini Allah akan memelihara dirinya dan keturunannya.”

4- SEKS BUKAN SEKADAR MEMUASKAN NAFSU

Seks yang sebenarnya ialah hubungan spirituil dan fizikal yang terjalin di antara sepasang suami isteri yang berkahwin secara halal, dinaungi oleh landasan syariat yang suci, demi untuk mencari keredaan Ilahi .Seks adalah satu hubungan suci antara dua insan, lelaki dan perempuan. Seks yang suci ini amat mendamaikan. Dalam Al-Quran Allah berfirman, “Di antara tanda kebesaran Allah ialah, Dia menjadikan bagimu jodoh daripada jenis manusia sepertimu agar kamu berasa tenteram bersamanya dan dijadikanNya di antaramu perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah Ar-Rum ayat 21) BBC Health bertarikh 3 Februari, 2001 melaporkan, komunikasi dua hala yang baik adalah penting untuk menghasilkan seks yang bermanfaat, dan untuk mencapainya, empat ramuan komunikasi perlu dihayati di dalam hidup, iaitu, kemesraan, saling faham memahami, keterbukaan dan bertolak ansur.

5- SEKS YANG HALAL ADALAH IBADAH

Ibadah mendatangkan pahala, rahmat dan keberkatan. Perkara ini dijelaskan oleh nabi di dalam hadis yang bermaksud, “Sahabat-sahabat Nabi bertanya, ‘Ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memuaskan nafsu syahwatnya secara halal, dia diganjari pahala?’ Bersabda Nabi Muhammad, ‘Tidakkah jika kamu memuaskan nafsu secara haram kamu berdosa? Justeru, jika kamu melakukannya secara halal kamu memperolehi pahala’.” (Riwayat Muslim)

6- TIDAK CUKUP SEKADAR MEMAKAI KONDOM

Barat menghalalkan hubungan seks luar nikah. Yang penting bagi mereka ialah memakai kondom agar kaum hawa terpelihara dari jangkitan AIDS. Dalam Islam zina adalah haram. Zina bermaksud, hubungan seks luar nikah yang dilakukan secara reda antara seorang lelaki dan perempuan. Walaupun ia dilakukan secara reda, ia adalah haram dan mendatangkan dosa. Di dalam sebuah hadis Nabi Muhammad bersabda, “Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat.” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, dan Al-Hakim)

7- ZINA YANG HARAM ADA PADAHNYA

Antara padahnya ialah kesan negatif di sudut emosi. Dr. David Weeks, seorang pakar neuropsikologi dari Hospital Royal Edinburgh, membuat kajian selama sepuluh tahun untuk mengenal pasti kesan seks ke atas kesihatan manusia. Beliau memberi amaran bahawa perubahan-perubahan positif kesan dari hubungan seks tidak akan berlaku ke atas mereka yang suka bertukar-tukar pasangan, malah kadangkala mereka yang seperti ini mengalami perubahan yang negatif disebabkan kerisauan dan tekanan yang sering melanda mereka hasil dari perbuatan mereka itu. (Rujuk BBC News, Sex Keeps You Young, 10 March 1999)

Di sudut agama, padahnya lebih jelas lagi. Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad bersabda, “Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga yang diperolehi di dunia ialah hilangnya seri di wajah, memendekkan umur dan mendatangkan kefakiran. Tiga yang diperolehi di akhirat ialah kemurkaan Allah, hisab yang buruk dan azab neraka.” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, dan Al-Hakim)

8- SEKS BEBAS MEMBUNUH

Nabi Muhammad bersabda, “Wahai Muhajirin, lima bala akan ditimpakan ke atasmu dan aku berdoa agar kamu tidak ada ketika bala ini menimpa….. Satu di antaranya ialah, apabila zina zahir di dalam masyarakat secara terang-terangan, wabak yang dahsyat dan penyakit-penyakit yang belum pernah menjangkitimu akan menyerangmu ketika itu.” (Riwayat Ibn Majah, Al-Baihaqi dan Al-Bazzar)

Pada hari ini, penyakit-penyakit jangkitan seksual atau STD (sexually transmitted diseases) kerap menjangkiti individu melalui hubungan seks rambang. Lebih kurang dua puluh jenis penyakit dari grup ini telah dikenal pasti di antaranya ialah syphlis, gonorrhea, genital herpes, genital wart, trichomoniasis, bacterial vaginosis, infeksi cytomegalovirus, infeksi chlamydia dan yang paling berbahaya ialah AIDS. Di Amerika sahaja ia menjangkiti 13 juta manusia setahun dan majoritinya ialah dari kalangan kaum wanita. Kos yang diperlukan untuk merawat dan mencegahnya menjangkau $10 bilion. Di antara komplikasi yang timbul kesan dari penyakit-penyakit ini ialah, mengandung di luar rahim atau ectopic pregnancy, barah, kemandulan, sakit jantung, infeksi dan sakit puan. Mengikut Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID) di Amerika, jumlah kes penyakit jangkitan seksual semakin meningkat pada hari ini. Ia disebabkan ramai remaja terlibat dengan hubungan seks tanpa perkahwinan di samping berleluasanya seks bebas di dalam masyarakat. (Rujuk NIAID Fact Sheet, An Introduction to Sexually Transmitted Diseases, July 1999)

9- ZINA BUKAN SEKADAR HUBUNGAN KELAMIN

Islam mengutuk segala bentuk perzinaan dan segala perkara yang boleh membawa kepadanya dianggap buruk dan diharamkan oleh Islam. Allah berfirman di dalam Al-Quran, “Dan janganlah kamu mendekati zina.” (Surah Al-Isra ayat 32) Antara alat yang boleh merangsang syahwat manusia dan kemudian membawanya kepada zina ialah mata. Sebagai contoh, melihat gambar-gambar dan menonton filem-filem lucah, adalah satu bentuk zina. Justeru, Allah berfirman, “Katakanlah kepada lelaki yang Mukmin, (kawallah) penglihatan mereka dan peliharalah alat kelamin mereka.”

10- BERDUA-DUAAN MEMBAWA RISIKO

Barat bersikap liberal di dalam aspek pergaulan lelaki dan perempuan dan menganggapnya sebagai satu cara hidup yang sepatutnya dicontohi oleh orang lain. Namun statistik semasa menunjukkan, cara hidup sedemikian lebih banyak mendatangkan kerosakan daripada kebaikan. Sebagai contoh, mengikut Jabatan Keadilan Amerika, bagi setiap dua minit seorang wanita mengalami gangguan seksual, dan pada tahun 1996, 307,000 orang wanita menjadi mangsa rogol dan serangan seksual di Amerika. Baru-baru ini kajian oleh National Women Study di Amerika menunjukkan lebih kurang 683,000 wanita menjadi mangsa rogol setiap tahun di Amerika. KEBANYAKAN DARIPADA KES-KES INI MELIBATKAN ORANG YANG DIKENALI TERUTAMANYA KETIKA SEDANG BERDUA-DUAAN DAN BERTEMU JANJI. Justeru, larangan bergaul bebas dan berdua-duaan yang ditetapkan oleh Islam amat relevan dengan dunia hari ini. Larangan ini mendatangkan banyak kebaikan terutamanya bagi kaum wanita.

11- BAHAYA SEKS KETIKA HAID

Islam mengharamkan seks ketika waktu haid. Hukum ini dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya, “Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah, haid adalah kotoran. Justeru, hendaklah kamu tidak menyetubuhi wanita ketika haid sehinggalah mereka suci daripadanya.” (Surah Al-Baqarah ayat 222) Mengikut Dr. Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan yang beribu pejabat di Oregon, risiko jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid ataupun dengan lelaki yang tidak berkhatan.

Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan yang teruk ke atas wanita. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa. Kebiasaannya kes-kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996.

12- HARAM HOMOSEKS DAN LESBIAN

Nabi Muhammad bersabda, “Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu ialah perbuatan kaum Lut. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Lut.” (Riwayat Ibn Majah, Tarmuzi dan Al-Hakim) Kaum Lut dihancurkan Allah disebabkan mereka tenggelam dengan perlakuan homoseks di kota Sodom.

13- ISLAM MENGGALAKKAN PERKAHWINAN

Berhubung dengan ini Nabi bersabda, “Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka dia bukan dari umatku.” (Riwayat Tabrani & Baihaqi) Dalam riwayat yang lain, baginda bersabda, “Wahai anak-anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (dari gelojak nafsu.” (Riwayat Bukhari)

14- CIRI-CIRI SUAMI ISTERI

Nabi Muhammad bersabda, berhubung dengan kriteria pemilihan isteri, yang bermaksud: “Pilihlah yang mempunyai kebaikan agama, akan selamatlah kamu.” (Riwayat Bukhari-Muslim) Baginda juga tidak melupakan kriteria di dalam pemilihan suami, berdasarkan sabda Baginda, “Jika yang datang meminang anak perempuanmu seorang yang kamu redai agama dan akhlaknya, maka terimalah dan kahwinkanlah dia dengan anakmu.” (Riwayat TirmIzi)

15- WAJIB MANDI SELEPAS HUBUNGAN SEKS

Kebersihan diri amat dipentingkan oleh Islam. Umat Islam diwajibkan mandi selepas mengadakan hubungan seks antara suami isteri, walaupun tanpa mengeluarkan air mani, seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad: “Apabila kemaluan bertemu dengan kemaluan, wajiblah mandi.” (Riwayat Tarmuzi) Di dalam riwayat yang lain Nabi bersabda, “Walaupun jika tidak mengeluarkan air mani.” (Riwayat Muslim dan Ahmad) Jika air mani keluar tanpa hubungan seks (sebagai contoh melalui mimpi), mandi tetap diwajibkan.

16- MANDI WAJIB SAINTIFIK

Mengikut pakar-pakar perubatan dari Institut Teknologi Penjagaan Kesihatan di Washington, untuk mencegah penyakit jangkitan seksual daripada merebak, hubungan seks perlulah dilakukan hanya dengan mereka yang dipercayai, dan tidak dilakukan secara bebas. Menjaga kebersihan diri sebelum dan selepas mengadakan hubungan seks seperti segera membasuh anggota sulit selepas mengadakan persetubuhan juga adalah penting. Malah pakar-pakar dari Institut ini menggalakkan seseorang mandi secara sempurna selepas mengadakan hubungan seks sebagai langkah pencegahan dari serangan penyakit-penyakit. (Rujuk The Institute for Technology in Health Care, Safer Sex: Reduce Your Risk Of Disease, After-Sex Hygiene, Washington, 2001)

Leave a comment